Tuesday

2060 TANPAMU

Cerpen
HADIAH SAGUHATI
PERTANDINGAN MENULIS CERPEN
HARI GURU JPN SARAWAK 2008


TIADA tangan yang mampu menahan kemaraan angin, tiada belikat yang boleh menentang limpahan empangan yang pecah. Demikianlah arus perubahan yang dialami dunia tetap tidak dapat ditentang sesiapa, umpama air bah menolak sampah. Atas sebab itulah dia terus berdiri di sini hari ini, iaitu demi menguak sampah-sampah itu ke tepi agar tidak terus mencemari jasad dan minda anak-anak didiknya, meskipun melawan arus itu payah.


Benarlah pesanan Saidina Umar Al-Khattab, “Didiklah anakmu untuk dia hidup pada zamannya.” Yakni zaman yang bukan lagi sama dengan zaman kita nan dewasa.


Kalau dahulu dia melihat para pelajarnya persis kertas putih kosong yang menunggu untuk dicorakkan, tetapi apa yang berlaku semalam dan seminggu yang lalu telah merubah perspektifnya tiga ratus enam puluh darjah. Anak-anak itu sebenarnya kertas yang sudah siap tercorak karut malah ada yang terkeronyok namun belum lagi terkoyak. Rebung yang sudah terlanjur lentur dengan acuan dunia 2060.

“Minggu depan kita akan memulakan kerja kursus Bahasa Melayu yang akan menyumbang kepada dua puluh peratus markah untuk subjek ini pada Penilaian Menengah Rendah kamu nanti.” Cikgu Salsabila melontarkan mukadimah pengajarannya pada pagi itu.

Dua puluh pasang anak mata merenung sang guru yang baru seminggu ditempatkan di metropolis ini dalam hari-harinya menunggu detik persaraan. Para pelajar bagai terkena cas elektrik, diam membatu mendengar tuturnya. Sememangnya mereka penuntut terpilih, genius dan cerdasnya mendahului kurikulum semasa. Cikgu Salsabila sudah maklum hal itu semenjak pertama kali menjejakkan kaki ke sekolah premier tersohor ini.

Pelajar yang paling kanan di dalam semi bulatan itu menekan papan kekunci mini di hadapannya. Skrin senipis kepingan kulit buku teks terus memaparkan tugas yang menanti.

Cikgu Salsabila yang mengesan ketangkasan Fakhri segera bersuara, “Ya para pelajar boleh merujuk kepada laman web penilaian dan…”

“Sudah cikgu.” Dua puluh suara menyahut serentak.

“Baiklah, kamu boleh baca semua penerangan tersebut dahulu sebelum kita bincangkan bersama.” Dia cuba bertindak sebagai fasilitator. Seharusnya begitulah dia, seorang guru negara pasca seratus tahun merdeka.

“Kami sudah baca sebanyak lima kali sejak awal tahun lagi, cikgu.” Raina mencelah.

“Oh, kalau begitu jika ada masalah berbangkit, ayuh kemukakan.” Cikgu Salsabila merenggangkan kedua-dua tapak tangannya menunggu sebarang persoalan.

“Kami juga sudah bahaskan hal ini di dalam kumpulan kami dan juga bersama rakan pelajar dari sekolah lain malah pelajar dari luar negara.” Ujar Hannah penuh yakin.

“Ada kemusykilan?”

Geleng.

“Semuanya jelas?”

“Ya. Untuk tugasan ini, kami cuma memerlukan nama-nama bangsa yang cikgu dapatkan dan sahkan daripada Kementerian Pelajaran untuk sekolah kita bagi tajuk perbandingan puisi ini.” Tutur Fakhri lancar.

“Betul kamu tidak mahu sebarang penerangan lanjut daripada saya?” Mengenepikan perasaan sendiri dengan sikap pelajarnya, dia memberi tawaran.

“Kami yakin dapat lakukan semuanya.” Sahut seorang lagi yang bernama Zeinal diiringi oleh anggukan setuju para pelajar yang lain.

“Saya rasa sebagai guru subjek ini, saya perlu sampaikan beberapa perkara sebelum kamu memulakan tugas ini.” Cikgu Salsabila masih sedar akan amanah yang dipikulnya untuk membimbing anak-anak didiknya. Namun belum pun sempat dia melanjutkan bicara, tiba-tiba Mahsuri bangun dan bersuara tegas berbaur angkuh.

“Cikgu, kami pelajar era ini tidak memerlukan guru lagi untuk belajar. Semuanya kami dapat perolehi di hujung jari kami dengan sekelip mata saja.”

Kelas diam, semuanya bagaikan bersetuju.

Tiba-tiba Cikgu Salsabila diserang rasa kekerdilan yang maha aneh apabila diperlakukan seolah-olah tugu peringatan cuma, dihormati tetapi tidak diberi nilai sewajarnya.

Dia menatap wajah-wajah mulus itu, yang cuba mengekspresikan secebis kegeniusan itu sebagai kebanggaan hidup mereka yang moden! Satu paradigma yang harus dihadapi dan dihadami rentaknya.

Sang guru kembali mengumpulkan segumpal kesabaran sebelum melanjutkan bicara. “Baiklah, kalau begitu yang kamu mahu, saya serahkan segalanya seratus peratus pada kamu sendiri. Atas nama kepercayaan, saya hanya akan memerhati dari jauh.” Kemudian ruas jemarinya lekas menari di atas papan kekunci komputer riba sebelum tajuk-tajuk tugasan yang dipinta pelajar terpapar jelas di layar putih.

Kumpulan Kejora-Perbandingan Antara Puisi Melayu dan Arab, Kumpulan Suria-Perbandingan Antara Puisi Melayu dan Inggeris, Kumpulan Galaksi-Perbandingan Antara Puisi Melayu dan Cina, Kumpulan Purnama-Perbandingan Antara Puisi Melayu dan India.

Cikgu Salsabila memandang wajah pelajarnya yang mula menekuni tugasan mereka satu-persatu. Tanpa diarah, mereka terus membentuk kumpulan, berbincang dan memanfaatkan kecanggihan teknologi maklumat yang ada.
Sedang dia terus berdiri seperti tugu. Bukan dia tidak mampu bersuara. Bukan dia tidak mampu maraih perhatian pelajar atau memaksa mereka memberikan tumpuan kepada dirinya. Tetapi senario itu sengaja dibiarkan berlaku.
Dia punya agendanya sendiri!


Manusia punya asa, Tuhan punya kuasa.

Dia menatap wajah Hannah. Remaja itu bukan sahaja pintar tetapi juga sangat kaya dengan pengetahuan. Tanyalah apa sahaja persoalan semasa, semuanya tersimpan kemas di dalam kotak memori gadis itu. Di sebelahnya pula ialah Fakhri, penuntut yang sudah tiga kali berturut-turut menjuarai Pertandingan Inovasi Teknologi Maklumat peringkat kebangsaan. Manakala Raina, Mahsuri, Zeinal dan baki pelajar yang ada sememangnya memiliki kecekapan IT serta teknologi sains lain yang tinggi yang tidak dapat dinafikan lagi. Justeru, menyelongkar tamadun Arab, Eropah, Cina dan Hindu bukanlah sesuatu yang sukar bagi pelajar-pelajar itu.

Masih terngiang-ngiang di gegendangnya lantunan diksi Mahsuri yang mengundang ruang perbincangan hangat antara dia dan pelajar kelas tersebut beberapa hari yang lalu.

“Kami generasi empat puluh tahun pasca wawasan 2020 tidak lagi memerlukan guru untuk memahami silibus.”

“Benar, zaman ini tidak sama dengan zaman cikgu dahulu. Selepas tamat sekolah rendah, para remaja sudah tahu berdikari. Pembelajaran dapat dicapai melalui kajian kendiri. Dengan teknologi maklumat, kami boleh menjadi pintar dan dewasa tanpa cikgu.” Hujah Fakhri tanpa segan silu.

“Tapi cikgu orang lama yang terlebih dahulu makan garam daripada anak-anak sekarang.” Dengan tenang dia seakan membela diri.

“Tapi cikgu, segala nasihat dan pengalaman juga sudah ada tersurat di dalam buku mahupun gajet elektronik, sedia untuk dihadam semula.” Lancar sahaja Hannah menyokong hujah rakan-rakannya, seolah-olah lupa bahawa Cikgu Salsabila adalah insan yang punya hati dan perasaan.

“Walaupun kalian berkata-kata dengan lembut, namun apa yang kamu sampaikan adalah kenyataan yang sangat tidak wajar terhadap seorang guru.” Cikgu Salsabila berterus-terang.

“Maafkan kami cikgu. Diskusi ini membutuhkan keterbukaan sesama kita.”

Meskipun terguris, hati kecil Cikgu Salsabila mengakui, apa yang didengarnya adalah suatu luahan jujur. Dia tahu siapa pelajarnya. Anak-anak metropolis era 2060 yang membesar di dalam budaya individualistik yang kental. Teradun di dalam acuan materialistik yang meminggirkan segala budi pekerti masyarakat Melayu yang tinggi.

Mata Cikgu Salsabila berkaca-kaca. Masih segar di fikiran tuanya betapa guru adalah khalayak yang sangat disanjung pada zamannya. Guru dinobatkan sebagai insan termulia, dianologikan sebagai lilin yang membakar diri atau matahari yang menerangi buana. Bukan penghargaan yang dipinta. Tetapi nilai yang diberi adalah maruah serta harga ilmu itu sendiri.

Malangnya hari ini, guru terpaksa naik turun mahkamah untuk membela hak yang dicabar pelajar sendiri. Ibu bapa dan pelajar saling dakwa mendakwa menikam guru yang berjasa mendidik. Bahkan dia sendiri, hari ini, bagaikan sifar nilainya di sisi pelajar-pelajar itu.

Masa tercantas laju. Pagi itu, langit mega kelihatan cerah. Awan yang memutih lansung tidak menceriakan wajah-wajah murung di hadapan Cikgu Salsabila. Rasa kesal, takut, gerun, sedih dan malu bercampur baur.

“Semuanya telah musnah.”

Diam. Tiada siapa pun yang berani mengangkat muka. Cikgu Salsabila mundar-mandir di hadapan kelas, rautnya kelihatan memendam rasa berang. Api kemarahan yang sengaja dinyalakan.

“Setelah disoal siasat, kumpulan Galaksi didapati bersalah menceroboh dan memusnahkan data-data dan semua hasil kerja kumpulan Purnama.”

Diam.

“Kumpulan Kejora pula, untuk bab puisi Melayu ciptaan, ternyata kalian telah menciplak dan mengadaptasi sajak Zaman Ini oleh Usman Awang lalu dititipkan atas nama kalian.”

Tegang.

“Apa yang lebih berat, Suria dan Purnama. Bersekongkol mensabotaj, menfitnah dan menghantar laporan palsu kepada lembaga pemeriksa kononnya hasil kerja Kumpulan Galaksi tiada integriti.”
Sepi terus membungkus diri. Hanya suara tegas Cikgu Salsabila mengisi ruang seperti hakim yang sedang membacakan hukuman kepada mereka yang tertuduh di kandang pesalah.

“Hasil siasatan dan perbincangan pihak pentadbir sekolah, kalian semua akan dikenakan tindakan disiplin yang berat. Apapun yang lebih berat ialah keputusan lembaga pemeriksa yang memberikan keputusan gagal kepada mereka yang terlibat. Satu lagi, meskipun semua yang berlaku adalah di atas permintaan kamu, saya sendiri turut dipersalahkan kerana tidak memberikan bimbingan yang secukupnya.”

Para pelajar kini sudah berani mengangkat muka, mengharapkan kepastian. Benarkah Cikgu Salsabila akan terseret sama menerima hukuman? Ah….

“Namun ini adalah risiko yang saya sudah tahu dan sengaja saya tanggung, kerana ada sesuatu yang saya cuba sampaikan kepada kamu.”

Jeda. Sesuatu yang tidak disangka, ada air jernih yang mula mengalir di pipi Mahsuri, Raina, Hannah dan beberapa orang pelajar perempuan. Sementara yang lelaki mengunci bibir membungkam rasa. Cikgu Salsabila meneruskan kata.

“Cikgu tahu, dengan kemodenan dunia hari ini, anak-anak sekalian sangat pintar. Hasil kerja yang cikgu lihat secara dasarnya memang cukup mantap dan mengikut kehendak syarat yang telah ditetapkan malah sesetengah bab cukup mengagumkan cikgu. Banyak pujian yang boleh diberikan. Namun, bagaimana dengan pencerobohan, penipuan, propaganda, dan kemusnahan yang kamu cipta? Bagaimana dengan ketamakan, hasad dengki, permusuhan dan kemunafikan yang beraja? Sejernih-jernih air, kalau melalui pembuluh yang kotor, tentu kotor juga hasilnya.”

Keheningan suasana menambahkan kesayuan hati.

“Anak-anakku, peranan guru ialah memberikan maklumat dan nilai. Diulangi, maklumat dan nilai. Sedangkan teknologi yang kamu bangga-banggakan hanya dapat memindahkan maklumat, tidak nilai. Memberitahu tetapi tidak mendidik. Sekarang, yang tinggal hanya kemusnahan.”

“Maafkan kami, cikgu.” Ada sebak di hujung suara Fakhri. Mahsuri, Raina dan Hannah sudah tenggelam di dalam esakan.

“Tanpa guru, kamu gagal menjadi insan.” Kalimah keramat itu bagaikan tombak tajam yang menikam hati-hati kecil itu.

Perlahan-lahan, bibir Cikgu Salsabila mengukir seraut senyuman. Ikhlas. Wajah Fakhri, Zeinal, Mahsuri, Raina, Hannah dan rakan-rakan bertukar menjadi cerah, melihat guru mereka dengan pandangan yang kian menyinar.


Sunday

RAMADHAN: MASA UNTUK BERUBAH



“SESIAPA yang hari ini lebih baik dari semalam dia seorang yang beruntung. Sesiapa yang hari ini sama sahaja dengan semalam dia seorang yang rugi. Sesiapa yang hari ini lebih buruk dari semalam dia seorang yang zalim.”
- Al-Hadis

Kenapa perlu berubah?

Setiap hari kita datang ke sekolah untuk belajar supaya menjadi orang yang berjaya. Supaya dengan ilmu itu kita akan berubah menjadi orang yang lebih baik pada masa hadapan. Sijil dan ijazah yang diperolehi pula sebagai bukti bahawa minda kita sudah matang dengan kecemerlangan ilmu dan akal. Bukti kita sudah berubah menjadi lebih baik.

Semua usaha dan susah payah kita di sekolah ini kita lakukan demi sebuah kejayaan yang kita impikan. Demi masa depan yang gemilang. Demi sesuatu yang kita namakan sebagai kehidupan. Dan seandainya kehidupan di dunia ini kita sudah jelas matlamat dan perjuangannya, bagaimana pula dengan kehidupan di akhirat sana? Sedangkan dunia yang kita buru ini bakal ditinggalkan jua suatu hari nanti. Suatu hari nanti kita akan pergi. Pergi yang tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya. Dan yang akan dibawa hanyalah amal ibadah kita kepada Allah SWT sahaja.

Untuk membina kehidupan yang baik di akhirat juga memerlukan perjuangan seperti mana kita berjuang untuk kehidupan di dunia. Juga memerlukan ilmu dan kepandaian. Memerlukan kemahuan, usaha yang gigih dan kemahiran praktikal (dengan mengamalkan apa yang dipelajari). Sijilnya pula nanti akan ditulis oleh para malaikat yang sentiasa setia merekod dan mendokumentasi semua perkara yang kita usahakan. Sama ada hasilnya yang baik atau sebaliknya.

Di dunia ini kita boleh melihat bagaimana orang-orang kenamaan, hartawan, jutawan, cendikiawan dan bangsawan telah menempa nama dan mencapai kedudukan mereka hari ini dengan hasil susah payah pada masa lampau yang bermula dari bawah. Mereka yang dahulunya khalayak marhaen kini dapat menjadi VIP yang dapat hidup senang, mewah dan terhormat di dunia.

Begitu jugalah halnya bagi mereka yang ingin menjadi VIP di akhirat kelak. Segalanya mestilah diusahakan. Ia tidak akan datang dengan percuma. Syurga itu mesti dibayar dan syurga itu mahal harganya. Kalau hartawan di dunia mesti pandai mencari duit dan menguruskan kewangan, orang yang ingin menjadi jutawan di akhirat juga mesti pandai mencari pahala dan mengumpulnya di ‘bank akhirat’ sebanyak yang mungkin. Bagi yang lebih bijak, mereka akan menyertai ‘Amanah Saham Akhirat’ yang menjanjikan keuntungan yang berlipat kali ganda!

Kenapa Ramadhan?

Sesungguhnya kehadiran Ramadhan sangat-sangat dinantikan oleh mereka yang celik mata hatinya. Kerana mereka tahu Ramadhan adalah merupakan salah satu daripada skim yang ditawarkan di dalam ‘Amanah Saham Akhirat’ yang sangat menguntungkan bagi semua pelaburnya. Ramadhan itu bulan rahmat, bulan berkat, bulan maghfirah (pengampunan) dan bulan pelepasan dari api neraka (terselamat daripada blacklist oleh Tuhan).

Selain itu, ia juga ibarat sebuah kem latihan yang merekrut pelatihnya agar menjadi hamba Allah yang sejati. Atau bagaikan sebuah sekolah yang melahirkan produk modal insan. Ada yang lulus cemerlang dan ada yang kecundang!

Kelebihan, keistimewaan dan tawaran hebat daripada Allah SWT pada bulan Ramadhan tidak akan kita ketahui kalau tidak dipelajari atau diterokai. Kita juga tidak akan tahu cara-cara untuk mendapatkannya serta cara selamat penyimpanannya. Seperti yang saya katakan tadi, ilmu juga sangat penting kalau hendak menjadi VIP di akhirat nanti.

Keberkatan pada bulan Ramadhan bukan hanya datang melalui puasa semata-mata. Sebenarnya Ramadhan datang dengan satu pakej yang besar malah menyeluruh, meliputi semua hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Bukan hanya puasa, tetapi juga solat terawih, membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah, menuntut ilmu, membantu insan lain dan sebagainya.

Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang mendekati Allah pada bulan Ramadhan dengan amalan sunat, ia seperti orang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya, adalah seperti orang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.”

Jadilah insan terpilih

Persoalannya, bolehkan kita merasa cukup sahaja dengan apa yang ada? Berpada dengan kejahilan dan kekurangan diri?

“Tak apalah, asal cukup makan….” Kalau begitulah sikap kita terhadap perjuangan hidup di dunia ini, akibat dan penyesalannya tidaklah terlalu besar. Mungkin kita akan menjadi orang yang hidup susah sampai ke tua dan selepas itu kita akan mati.

Tetapi bagaimana jika ‘prinsip cukup makan’ itu kita jadikan pendirian untuk masa depan akhirat? Tentunya beban penyesalan yang akan diterima itu tidak tertanggung beratnya. Kerana kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Hidup yang tidak mati-mati lagi!

Di sana hanya ada dua pilihan. Mulia atau hina. Syurga atau neraka. Dan kalau sudah ditakdirkan mendapat syurga sekalipun, bukankah lebih baik kalau kita mendapat syurga yang teratas daripada tujuh syurga yang disediakan? Sesiapa yang ingin menjadi insan mulia di sisi Allah, dia hendaklah memburu masa yang dimuliakanNya, mendatangi tempat yang dimuliakanNya, melaksanakan amalan yang dimuliakanNya, bersikap dengan sikap yang dimuliakanNya dan mencintai orang-orang yang dimuliakan Allah.

Dan sudah tentu masa yang paling istimewa itu tidak lain dan tidak bukan ialah bulan Ramadhan. Padanya juga terdapat malam yang paling istimewa iaitu Malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

Lalu, kalau kita tidak menjadikan Ramadhan sebagai masa untuk berubah, maka bila lagi kita akan berubah?

Wednesday

DUA WAJAH YANG PALING INDAH BERSERI


Selama hidupku yang kian menganjak ke gerbang tiga puluhan ini, ada dua wajah yang paling indah kulihat. Menatapnya tidak jemu. Sehingga hari ini, dua wajah itu masih terbayang-bayang di ruang ingatan. Mengalahkan ingatanku kepada mana-wana wajah supermodel dunia mahupun mana-mana miss universe yang punya senyuman maut sekalipun.

Tatkala menatap dua wajah bersih lagi jernih itu, semacam satu rasa agung menyelinap ke perdu hati. Kagum dengan ketenangan yang melimpah dari segenap ruang muka yang terdedah. Nyata pemilik wajah itu sedang bergembira dengan kegembiraan yang maha besar.

Air mataku menitis. Aku tumpang gembira dan terharu dengan kemenangan miliknya, tetapi aku juga cemburu. Ya, aku benar-benar cemburu!

Wajah pertama ialah seorang wanita tua. Memakai telekung sembahyang yang telah lama digunakannya untuk menyembah Tuhannya. Eh silap, dia bukan memakai, tetapi dipakaikan. Rupanya yang tua itu menjadi sangat cantik pada pandangan mata.

Wajah kedua ialah seorang lelaki tua. Juga indah seperti wanita tadi. Dia pula berserban dengan dengan serban putih yang sudah lusuh tetapi serban yang digunakan selama ini untuk rukuk dan sujud kepadaNya itu menambahkan kehebatan kepada pemakainya. Beliau nampak sangat mulia.

Subhanallah, hatiku bertasbih.

Wajah itu kekuning-kuningan. Sewaktu melihatnya, mata mereka terpejam rapat. Tenang.
Itulah wajah-wajah kekasih yang sedang pulang menemui kekasih yang dirindui sekian lama sekian usia. Bukan hanya aku, tetapi orang yang datang menziarahi juga berbisik-bisik sesama mereka, “Ya Allah, cantiknya mayat ini!”

Wajah pertama tadi ialah Allahyarhamah Hajah Mariam, nenda tiriku yang telah meninggal pada tahun 2003 dan wajah kedua pula ialah iparnya yang pulang ke rahmatullah tidak lama selepas itu.

Kedua-duanya telah meninggal pada umur yang sudah lanjut dan usia mereka adalah usia yang diberkati. Aku telah melihat ramai jenazah yang berangkat meninggalkan dunia ini tetapi demi Allah, dua wajah itu lah yang paling indah yang kulihat. Sehingga aku sangat yakin tentang kedudukan tinggi untuk mereka di alam sana. Lebih mulia dari gelaran miss universe di dunia tadi.

Aku tidak pasti apakah amalan mereka semasa di dunia, namun semua orang tahu mereka adalah adalah ahli masjid.

Nendaku itu akan menjadi tetamu Allah setiap kali seruan azan dialunkan. Beliau tidak pernah meninggalkan sembahyang berjemaah hatta pada subuh yang dingin dan beliau terpaksa menggagahkan kaki tuanya menyusuri lorong kampung yang gelap dan sunyi. Itulah bukti keimanan. Itulah bukti hidup bertuhan.

Bukankah ada sabda baginda yang menyatakan sekiranya kita melihat seseorang yang menyahut seruan solat berjemaah setiap kali azan dilaungkan, maka saksikanlah bahawa dia sudah beriman?

Berkenaan permasalahan wanita itu afdhal solatnya di rumah dan di dalam biliknya, ulama menafsirkan bahawa itu adalah sekiranya wujudnya fitnah sebagai ‘illah. Sedangkan seorang wanita tua seperti nendaku itu nyata tiada fitnah padanya. Jadi tentulah solat berjemaah di masjid dan surau itu terlebih afdhal baginya.

Kini sudah tibalah masa untuk beliau berehat dengan penuh ketenangan dan menikmati nikmat kemenangan di atas segala susah payah mujahadah di dunia dahulu.

Wahai jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha dan diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu. Dan masuklah ke dalam syurgaKu.” – Surah Al-Fajr, ayat 27-30.

Inna lillahi wa inna ilaihi raaji’un.

Daripada Allah kita datang, kepada Allah kita kembali.

Bagaimanakah pula wajahku di saat kepulangan itu nanti?

Ya Allah….