Monday

SABAR DAN SYUKURLAH SEBAGAI HAMBA



ALHAMDULILLAH. Semalam saya mendapat panggilan daripada Puan Marriya Yusup, Penolong Pegawai Perancang Bahasa, Unit Pembangunan Karyawan, Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Negeri Sarawak, memberitahu berita gembira bahawa saya adalah salah seorang pemenang bagi Peraduan Menulis Novel anjuran DBP tersebut.
Nombor berapa? Semuanya masih dirahsiakan, surprise katanya! Segala puja dan puji bagi Allah, kepadaNya jualah segala pujian yang tidak terhingga. DaripadaNya lah segala kemuliaan, keberkatan dan kemenangan.
Kemenangan ini nampaknya menjadi penawar dan penyegar kepada hati yang dilanda kesedihan kerana permohonan saya untuk bertukar ke semenanjung tidak diluluskan Kementerian Pelajaran Malaysia. Betullah kata pepatah yang mengatakan hidup ini ibarat putaran roda, sering berpusing, bertukar dan bergilir, yang di atas akan sesekali berada di bawah bila tiba masanya. Yang di bawah pula akan tiba di atas jua suatu hari nanti.

Demikian juga hidup diibaratkan seperti air laut. Ada ketikanya air pasang, dan ada juga saatnya ia menyurut.

Hidup tidak selalunya indah, kerana di situlah indahnya hidup. Bagaikan makanan, perlu kepada manis, masin, tawar, kelat, pedas dan seribu satu perisa lagi. Cuba bayangkan jika makanan kita hanya yang manis sahaja semata-mata.
Kadang-kadang Allah memberikan kita kesusahan supaya kita lebih menghargai kesenangan. Diberinya kita merasai kepahitan ketika rebah supaya kita dapat menikmati betapa manisnya sebuah kejayaan. Ditemukan kita dengan 'orang yang salah' dahulu supaya kita betul-betul dapat melihat permata berharga yang ada pada right person yang menjadi pasangan kita kelak.

Di sebalik itu pula, dianugerahkan ujian kesusahan supaya kita dapat meraih pahala orang-orang yang sabar, dilimpahkan jua dengan kesenangan agar kita juga mendapat ganjaran orang-orang yang bersyukur. Maka di hari akhirat nanti kita dapat bergembira dengan kepelbagaian jenis hadiah yang menanti. Hadiah bagi sabar, redha, syukur, tabah dan sebagainya.
Dan tentunya ramai di antara kita yang sering mengamalkan wirid ma'athur yang berbunyi "Radhiitu billahi rabba, wabil Islaami diina, wabi muhammadin nabiyyan warasuula". Yang bermaksud "Aku redha Allah sebagai Tuhanku, Islam sebagai agamaku dan Muhammad itu sebagai nabi dan rasul". Lalu apabila kita mengaku Allah sebagai Tuhan kita, mengapa kita harus memberontak menghadapi takdirNya apabila takdir itu tidak selari dengan kehendak nafsu kita?
Dia Tuhan dan kita hambaNya. Dia Tuhan, maka Dia berhak menentukan segala-galanya. Kita hamba, maka kita mesti patuh dan tunduk kepadaNya. Dia Tuhan yang Maha Sempurna, maka tentu sekali apa yang ditentukan itu adalah yang terbaik belaka. Siapalah kita untuk menjangkau hikmah kejadian. Jangankan hendak melihat sesuatu hikmah di masa depan, hendak melihat ikan di dasar laut yang berada di depan mata kita pun kita sudah tidak mampu. Hendak melihat orang di sebalik dinding di dalam bilik kita pun tidak boleh!
Walaupun saya terpaksa menahan kepedihan hati tercampak jauh dari kampung halaman dan berkhidmat di penjuru Tanah Borneo, siapa tahu ada seribu hikmah yang menanti. Nampaknya di sini saya berjaya menyiapkan sebuah novel yang diiktiraf Dewan Bahasa dan Pustaka, mungkin kalau di semenanjung saya tidak akan berpeluang untuk melakukannya. Bukan pengiktirafan itu yang menjadi motif utama, tetapi ilmu dan pengalaman yang saya terokai itulah yang saya harapkan menjadi sesuatu amat berguna buat umat ini, InsyaAllah.
Kita sering mengharapkan agar Allah redha kepada kita sebagai hamba, tetapi adakah kita redha kepada Allah sebagai Tuhan? Kalau benar kita redha Allah sebagai Tuhan, maka kita sering mengeluh dengan apa yang berlaku? Sedarkah kita, orang yang mengeluh kerana hari hujan, samalah dengan mengeluhkan Sang Pencipta hujan itu!
Didik dan asuhlah hati untuk sabar, redha dan syukur. Sabar itu lebih hebat daripada redha dan syukur ketika musibah itu lebih hebat daripada redha. Kerana sabar bermaksud kita menahan perasaan kita daripada berfikir dan bertindak dengan perkara tidak sepatutnya. Sedangkan redha itu kita sudah sampai ke tahap mampu untuk berlapang dada dan menerima dengan hati terbuka. Manakala syukur pula kita bahkan berterima kasih dengan Tuhan di atas ujian maha perit yang melanda! Di situlah rahsia ketenangan hakiki....