Wednesday

ANTARA KAU DAN AKU

Kunukilkan puisi ini buat anak-anak didikku di SMK Lawas, Sarawak.



Berkaca di cermin

Memantulkan wajah diri

Segak bergaya bersih ternama

Kemandirian hidup yang terpimpin

Warisan kegigihan lampau yang panjang

Minda terbuka akhlak berbunga

Kuasa minda seorang cendikia

Ilmu dan hikmah seorang pendeta

Bagai tersalin ke dalam diri

Juga dalam kerlipan bintang sebagai insan guru

Di hadapanku seorang anak

Berwajah kosong berbaju kusam

Kasut berona kelabu terpelohong hodoh

Sedondon kelorah seragam biru putih

Mewarnai raut satu kehidupan

Keliru menumpahi wajah

Dalam hela nafas yang mendesah

Belengas hidup menghamburkan gundah

Kekerdilan dan kesempitan

Mengajarnya mentafsirkan masa depan

Sebagai persoalan yang ternganga

Terbisik satu suara

Aral belum melintang

Peluang

Berikanlah dia peluang

Harapan

Ajarkanlah dia harapan

Antara kau dan dia

Adalah putaran sejarah yang sama

Antara kau dan dia

Ada rantai amanah

Yang tidak pernah dipisahkan

Sunday

RENUNG SEJENAK...


“Inna lillahi wa inna ilaihi raajiuun.” Ya, sesungguhnya daripada Allah kita datang, kepada Dialah jua kita kembali.

Orang ramai sudah berkumpul di ruang tamu yang tidak berapa luas itu. Jenazah sedang dikafankan. Bau kemenyan, kapur barus, air bidara saling menusuk deria hidu. Alunan syahdu surah Yasin menambah kesayuan yang membadai di pantai hati. Tugas mengafankan sedang disempurnakan oleh beberapa orang lelaki di sebalik tirai kusam.

Sanak saudara mengaji sambil menyeka air mata. Mata-mata yang memerhati dari tadi tidak dapat menahan tangis mereka. Semua tetamu mendiamkan diri, bertafakkur, berkongsi kesedihan dan menghormati si mati.

Kematian.

Saban hari ada sahaja insan yang pergi.

Siapa tahu ia sebuah pertarungan yang sangat hebat. Siapa sangka ia sebuah perpisahan bagi segala pertemuan. Siapa sedar ia sebuah permusafiran yang maha jauh.

Entah mengapa manusia tidak pernah terfikir bahawa permusafirannya boleh jadi suatu titik noktah mengejut, datangnya mungkin serta merta tanpa notis. Ramai manusia menyangkakan mereka hanya akan pergi setelah adanya uban yang bertabur, seusai gigi gugur, apabila kulit telah kendur dan selepas mata sudah kabur.

Tapi tidak semestinya. Kematian tidak begitu. Boleh jadi hanya dengan tergelincir memijak lantai licin lalu terbongkang rebah. Itu saja. Selepas itu tiada lagi suara yang berbicara dan tiada lagi cahaya di ruang mata.

Tanpa sempat berselamat tinggal apatah lagi berwasiat.

Tanpa sempat bermaaf-maafan apatah lagi bersolat taubat!

Saat ini cemburu kuat akan mencengkam hati. Alangkah bahagianya mereka yang masih diberi peluang untuk terus khusyuk di dalam zikir di rumah-rumah Allah. Untuk terus menikmati menikmati manis dan lazatnya ibadah di sepertiga malam. Bertuahlah bagi yang terus mencekalkan hati di dalam mujahadah demi sebuah keyakinan yang tidak akan punah. Si mati akan jadi rindu untuk itu semua.

Aku ingin rukuk! Aku mahu sujud! Aku ingin menyembah Tuhanku lagi! Namun, si aku itu tadi hanya mampu menangis tanpa air mata kerana aku kini sudah tidak ada upaya apa-apa lagi. Kudrat yang pernah dipinjamkan Allah telah diambilNya semula.

Rupa-rupanya, perjuangan panjang di dalam kehidupan yang berpuluh-puluh tahun itu hanyalah persiapan panjang untuk satu perkara, iaitu untuk kita bertemu Allah! Lantas, bagaimanakah aku pada hari itu? Hari bertemu Allah?

Teringat kembali pada satu doa, “Ya Allah, jadikan umur terbaikku di penghujungnya, jadikan amal terbaikku di penutupnya dan jadikan hari terbaikku adalah hari bertemu denganMu.”

Namun, walaupun manusia pernah berdoa, tapi sebahagiannya tidak pernah mengambil tahu adakah doa itu mencapai piawaian sebenar untuk benar-benar dapat mengetuk pintu langit. Di mana kesungguhan, keikhlasan dan ketulusan? Sepertimana juga yang sering solat, tapi lalai dari mengambil kira adakah solat itu sempurna atau tidak. Sedangkan khusyuk dan khudhuknya entah terlempar ke mana.

“Cukuplah mati itu sebagai peringatan.” Demikian sabda junjungan besar kita…..