Tuesday

TENGKOLOK MENYEMBAH TANAH

Cerpen
Majalah i
November 2008

BERITA yang dipaparkan media elektronik seperti biasa akan mengalir deras, membanjirkan khabar di seluruh negara. Berita yang diulas tambah dengan momokan metafora dan visual kadang-kadang boleh menjulang seseorang ke mercu dunia dan adakalanya menjatuhkan ke lembah hina. Masyarakat pula seringkali mendahului Tuhan dalam menjatuhkan hukuman syurga atau neraka.

Dia tersenyum simpul. Hatinya berbunga-bunga melihat wajah sendiri di kaca televisyen. Berasakan dia patut dan layak berada di pentas itu. Dia Yang Berhormat Dato’ Fazhri, orang penting dalam negara. Orang mulia yang banyak berjasa dan terpilih di kalangan umat manusia.

Sebab itulah apabila Halim berlari-lari anak datang mengadu tentang orang tua yang baru dua bulan diambil bekerja itu, dia tidak berapa ambil pusing. Susuk tua itu khabarnya rebah di tepi kolam renang villa agamnya, nyaris tercebur ke dalam air setinggi dua meter itu. Koma.

“Huh, ada-ada saja. Panggil doktor ke mari.” Begitu responnya mudah. Lelaki itu bukan siapa-siapa padanya. Kantanya kembali menerobos skrin tadi. Sebentar lagi berita pelancaran Simposium Ketuanan Melayu akan tersiar. Sekali lagi untuk malam ini raut segaknya akan mendominasi ruang tatap rakyat Malaysia.

“Takkan Melayu hilang di dunia. Kita rumpun Melayu rumpun merdeka. Bumi kita makmur sejahtera kerana kebijaksanaan kita semua!” Kata-katanya termuntah berlahar api.

“Hidup Melayu!” Respon peserta simposium membuat matanya bersinar galak.

“Hidup Dato Fazhri!” Sinar matanya tambah galak.

Ripuh dunianya ripuh. Semua orang tahu perjuangan sucinya, memastikan Melayu di millennium baru terus berdaulat dan terhormat. Misi dan visinya tidak pernah dibantah sesiapa lantaran signifikan ketuanan bangsanya cukup utuh di negara ini.

“Dato’, doktor sudah sampai, Pak Ahmad sedang dirawat.”

Dato’ Fazhri berkalih memandang Halim. Pemandunyalah yang menemui rijal tua itu berteduh menghilang lelah kelana di masjid, membawanya pulang kalau-kalau dapat mengisi jawatan tukang kebun villa agam yang kebetulan kosong.

Seterusnya dia tidak berapa peduli lagi pada lelaki itu. Yang penting halaman villanya terpelihara rapi. Bukan setakat bersih dan kemas yang dia mahu. Tetapi mesti juga menawan. Mahligai dato’ tidak boleh ala kadar sahaja. Mesti gah ala palace. Halamannya tidak boleh seadanya. Mesti saujana terindah menzahirkan keagungan pemiliknya. Biar semua orang tahu siapa dirinya.

Dalam diam dia akui, Ahmad telah melunasi tugas sebagus yang dikehendaki. Selebihnya, dia tidak banyak menyelidik lantaran kepentingannya sudah terpenuhi. Seperti mana hubungannya dengan pekerja-pekerja lain, dia lebih selesa untuk tidak menyusur akar.

Di tengah bukat malam, sambil mengimbas kembali perjuangan politiknya yang panjang, dia terkhayal ke kurun 15. Ya, tentulah dia persis Hang Tuah, pahlawan Melayu yang taat berkhidmat kebanggaan rakyat. Cuma bezanya Hang Tuah mahir bersilat senjata, dia pula hanya menjadi penaung kepada persatuan-persatuan silat kebangsaaan, selain tugasnya melindungi semua warisan, seni, kebudayaan dan identiti lain masyarakat Melayu. Sejak mengisi jawatan utama negara, sudah terlalu banyak usaha dan ikhtiarnya untuk memartabatkan apa sahaja yang bernama Melayu. Dia pencinta bangsa, perindu warisan nenek moyang, juga pembela hak dan keistimewaan yang diwarisi turun temurun.

Sebab itulah dia panas punggung ketika ada pihak yang mengecam DEB, mula menyinga bila ada yang meminggirkan titah sultan dan dia tidak sekali-kali akan berdiam diri apabila majlis adat istiadat diraja tidak dihormati atau dipulaukan. Semua itu mesti diajar! Biar dunia tahu tinggi atau rendahnya langit Melayu.

Dia dan Hang Tuah sama-sama berbakti. Sama-sama wira Melayu yang masing-masing setia. Pantang orang menghina atau mencabar Melayu, dialah orang pertama bangkit menentang. Jebat mana yang tidak disanggahnya. Akulah Hang Tuah moden kesayangan sultan. Begitu gah dirinya di hati sendiri.

Sedang tenggelam dalam ujub diri, tiba-tiba mulutnya dikatup dengan sebelah tangan sasa. Dia yang terkejut metah cuba melawan namun langkahnya nyata sumbang. Bayangan hulubalang Melaka tadi lenyap sekelip mata.

Dengan tangan kaki terikat dan leher disua belati, dia kemengahan.

“Mana dokumen tu?” Nyata musuh politiknya sudah menceroboh ke tahap paling maksimum. Bila-bila masa sahaja dia boleh berpindah ke alam lain.

Bukk! Belum sempat merespon, perutnya menerima tendangan percuma. Pandangan Dato Fazhri berbinar. Dalam cahaya rembulan, matanya dapat menangkap tiga susuk yang menyarung baju dan topeng hitam berserenjang tegap di hadapannya. Kemudian tiga susuk itu tersalin menjadi enam sebelum menjadi tiga kembali.

“A… Ada… Ada di….”

“Assalamualaikum”. Satu suara tenang membuatkan semua mata terkalih ke satu arah.

“Siapa kau mengganggu kerja kami?”

“Bebaskan Tuan saya.”

“Arghhh!” Ketiga-tiga peneceroboh berteriak dan menyerang serentak sebelum sempat Ahmad memasang kekuda. Namun semuanya dapat dielak dengan mudah tanpa sekelumit pun rasa mengah.

Beberapa kali menepis, Ahmad akhirnya membalas serangan. Hanya dengan satu jurus angin, ketiga-tiga penceroboh terpelanting tinggi. Jatuh tidak bergerak.

“Di mana pakcik belajar silat ni?” Mulut Dato’ Fazhri terlopong dengan mata terbuntang.

“Bukankah bangsa Melayu adalah bangsa pahlawan?” Tenang saja suara itu.

Menyindir akukah? Gumamnya dalam hati. Sebetulnya dia yang tersindir sendiri.

“Apapun, terima kasih kerana menyelamatkan saya. Hujung bulan nanti jangan lupa ambil bonus.” Dia mengurut-ngurut lengan, menyisih lenguh yang belum pergi setelah ikatan dilerai.

“Tak apalah Tuan, saya menolong dengan ikhlas. Sudah tiba masanya saya pergi. Saya mohon maaf. Halalkanlah makan dan minum dan terima kasih atas semua budi Tuan.”

“Hah, kenapa perlu pergi?”

“Semakin lama saya di sini, semakin kuat rasa bersalah mencengkam jiwa. Kini perlu pulang kerana tanah air memerlukan saya sekarang. Tadi, anak lelaki saya sudah memaklumkan hal ini.”

Anak lelaki? Siapa dan bila? SMS? Atau di bawah sedar siang tadi?

Dato’ Fazhri mengamati susuk dan raut renta Ahmad. Datang menumpang di bumi orang, hanya menggalas sebungkus pakaian yang diikat dengan kain lepas. Sekarang dia perlu pulang. Semasa pertama kali mengenali Ahmad, dia dimaklumkan pembantu peribadi bahawa lelaki tua itu berdarah Pattani.

“Adakah pakcik turut terlibat dengan gerakan militan Selatan Thai yang menghuru-harakan negara Siam selama ini?” Dato’ Fahzri meluah sangsi. Kedudukan yang dimiliki seringkali membuat dia lupa patah kata yang sepatutnya dipilih.

Ahmad terkesima. Hati tenangnya tersentuh. Ada sembilu halus menusuk pedih. Perlahan wajah dikalih mengadap purnama yang sedang berduka. “Rupanya kami bukan sahaja dipandang hina oleh musuh Islam, tapi juga oleh mereka yang seagama malah sebangsa dengan kami.”

“Apa maksud pakcik?” Terimbas kembali di benaknya terhadap semua liputan yang didengar tentang wilayah bergolak itu. Berita yang dimaklumi seantero dunia, sejauh Washington DC. Masakan dia Dato’ Fahzri tidak tahu menahu?

“Kami bukan pemberontak terhadap kerajaan, tetapi penentang kepada penjajahan. Memang Pattani mempunyai sejarah perang dengan Thailand yang tidak pernah berakhir.”

“Ya aku tahu. Seawal abad ke 17 lagi Siam menceroboh ke geografi suci itu. Lambat laun penaklukan menjadi rasmi pada 1902 dan Perjanjian Bangkok 1909 dengan pihak British mengakhiri segala-galanya. Kedaulatan Thailand ke atas Pattani telah diiktiraf bukan?”

“Yang mengiktiraf itu tidak lain melainkan musuh yang mengatur semuanya untuk melunasi dendam. Barat yang cemburu dengan kejayaan rantau ini menjalankan perniagaan dengan Arab, bimbang kalau-kalau bangsa Melayu, bangsa yang teramai di Kepulauan Nusantara ini menyalin kegemilangan Arab dengan sebab Islam.”

Dato’ Fazhri tergamam. Lelaki tua yang pernah dipandang rendah itu tidak disangka akan menyangkal hujahnya dengan petah sekali. “Bagiku kepelbagaian budaya dan etnik adalah kekuatan, bukan liabiliti”. Suaranya berbaur angkuh dengan ego melangit.

Mata Ahmad tiba-tiba berkaca. Nyilu hatinya nyilu. Air mata bergenang bukan kerana lemah tetapi hatinya tersangat lembut, cukup sensitif bila fikirannya memutarkan kembali tayangan duka umat Islam Pattani. Belum pun sembuh luka Masjid Krisek dan hirisan Tak Bai masih berdarah, belati dan peluru askar Thailand terus-terusan menyentuh jasad kaum muslimin di atas kesalahan yang tidak pernah mereka lakukan.

“Kekuatan itu hanya untuk mereka sedangkan kami diharamkan hak dan identitinya untuk hidup bebas sabagai satu bangsa. Kedaulatan bahasa, sastera, sejarah, kesultanan Melayu bahkan tulisan jawi yang cemerlang sejak beratus tahun dahulu kini menunggu masa untuk padam.”

Muka Yang Berhormat itu berkerut seribu apabila nama Melayu disentuh.

“Kami terpinggir di bumi sendiri, hidup dalam ketakutan. Ke mana saja bergerak perlu bersoal jawab. Apabila keluar rumah, belum tentu pulang dengan selamat.”

“Mungkin cara kamu bertindak tidak betul.” Dato’ Fazhri menembak tanpa arah yang pasti. Wajah tenang Ahmad hanya tersenyum.

“Perjuangan kami tiada bezanya dengan tokoh yang kalian agungkan. Tindakan Dato’ Bahaman, Mat Salleh, Tok Janggut dan Mat Kilau semuanya berasas. Adakah kamu menganggap mereka pengganas radikal?”

“Ya sememangnya Malaysia mengutuk kezaliman terhadap mangsa yang tidak bersalah. Kami turut peka dengan masalah kalian”. Suara Dato’ Fazhri kedengaran memujuk. Sedikit sebanyak dia tetap berasa terpukul.

“Tapi kami cukup jengkel mendengar kenyataan mesra pemimpinmu bersama Samak tempohari, bahawa masalah ini hanyalah sekadar krisis dalam negara. Seolah-olah tiada kaitannya dengan umat Islam sejagat.”

Lidah Dato’ Fazhri tepaku kelu dipahat buntu.

“Air mata kami tiada bezanya dengan air mata rakyat Palestin dan luka kami sama merahnya dengan darah Baghdad. Malah kita ini lebih akrab bersaudara kerana bukan saja seagama tetapi juga sebangsa. Ini adalah penghapusan etnik Melayu!”

Melayu? Ruang fakir Dato’ Fazhri menerobos jauh, melompat-lompat jatuh tidak bertempat. Teringat kembali kembara juangnya demi anak Melayu. Segala slogan bernas, motto bervisi, teks-teks ucapan berapi, serta tulisan beraninya yang cuba mengangkat ketuanan Melayu, Bahasa Melayu, sastera Melayu, orang Melayu, identiti Melayu sehinggalah kepada sejarah Melayu yang berabad ditinggalkan. Bahkan kalimah dato’ yang bertempel dengan namanya itu juga hasil kerja kerasnya membela Melayu.

“Tengkolok raja Melayu telah menyembah tanah!” Kata-kata keramat Ahmad memancung lamunan sekaligus menusup masuk jauh ke dasar hati.

“Angkara Barat, kita adik beradik terpisah”. Ahmad berkias. Dato’ Fazhri masih terpempan. Naluri pejuangnya tersentuh.

“Jadi kamu menyalahkan kesilapan sejarah? Atau cemburu dengan kemajuan Malaysia?” Entah kenapa dia seperti terlalu keras untuk mengalah.

Geleng. “Kami tidak kesal dilahirkan di Pattani. Malah amat bersyukur dan merasa bertuah kerana Islam di sana sangat subur menaungi kehidupan. Ujian ini menjadikan jiwa kami kuat meskipun mata zahir menafsirkan kami lemah.”

“Jadi apa harapan kamu?” Suara Dato’ Fazhri mulai kendur. Redup matanya mula teduh dinaungi pancaran ketenangan dari wajah tua yang dihantar Tuhan itu.

“Tuan punya kuasa yang dipinjamkan Allah. Justeru, umumkanlah kepada dunia bahawa Islam tetap menuani bumi ini dengan mengakui kami sebagai saudaramu bangsa yang berdaulat. Bersihkanlah kami dari contengan arang musuh yang menghitamkan dengan seribu satu fitnah. Konon kami adalah hasil elemen teroris antarabangsa. Semuanya hanya untuk memudahkan Siam mencengkam kuku besinya dengan bantuan dari luar.”

Ahmad menghela nafas berat sebelum meneruskan diksi. “Kami tidak mahu apa-apa melainkan kedaulatan kerana hanya dengannya Islam dapat diamalkan sepenuhnya. Justeru, sokongan diharapkan. Menyokong musuh bererti menikam saudara sendiri dari belakang.”

Dato’ Fazhri terdiam. Mulutnya terus-terusan terkunci dengan fikiran yang bercapah seribu, sehinggalah susuk tua yang pernah berbakti padanya itu hilang dalam kepekatan malam dengan lafaz suci Assalamualaikum pengiring langkah.

Mencicipi kopi panas di pagi minggu itu, Dato’ Fazhri meneruskan rutinnya membaca berita di internet. Tiba-tiba dia terpempan. Yang Berhormat pejuang Melayu itu benar-benar terkesima.

PATTANI- Seorang ulama besar pengasas Pusat Pengajian Pondok Mukhlisin telah ditembak mati ketika pulang dari menunaikan solat Subuh di Masjid Puteh, dua kilometer dari Bandar Pattani. Sheikh Wan Ahmad Al-Makki merupakan tokoh berpengaruh besar sejak menerajui kepimpinan Jemaah Islamiah Pattani. Beliau dilaporkan syahid setelah sekian lama menjadi buruan tentera Thai. Sejak pagi semalam seluruh wilayah Selatan Thai temasuk Narathiwat dan Yala kelihatan turut berkabung menangisi pemergian pemimpin besar mereka yang telah banyak berjasa menabur bakti di bumi Melayu tersebut kerana dikatakan tiada lagi pengganti yang dapat menggantikan tempatnya.

Dato’ Fazhri tersandar. Sebak memberat di relung nafas. Perenggan seterusnya tidak dapat diteruskan apabila sayu, kesal, pilu dan terkilan bercampur baur menerbitkan satu rasa insaf yang mendalam. Foto kekasih Allah yang tersenyum menerima anugerah syahid ditatap. Senyuman paling indah yang ditemuinya di wajah itu.

No comments:

Post a Comment