MALAM Nisfu Syaaban tersirat peristiwa penting bagi setiap umat Islam pada saban tahun hijrah. Lembaran lama ditinggalkan, lembaran baru pula dibuka. Saya mengambil peluang untuk menjadikan tarikh mulia ini sebagai permulaan penulisan di ruangan ini dengan niat berkongsi ilmu dan pengalaman yang ada. Hakikatnya ilmu yang ada sangatlah cetek dan sedikit, tetapi seandainya disimpan sahaja tanpa disampaikan, yang sedikit itu akan lesap sedikit demi sedikit, hilang dalam kealpaan dan usia yang beransur pupus.
Rejab yang telah berlalu, Syaaban yang sedang meniti dan Ramadhan yang bakal bertamu, sering mengingatkan saya kepada seorang sahabat karib yang kini jauh di Benua Afrika sana. Beliau seorang gadis Mesir (kini sudah pun berkahwin) yang sangat komited mengamalkan Islam. Multazimah kata orang Arab. Sangat warak dan solehah sehingga seumur hidup saya, tidak pernah saya ketemu seorang pun gadis melayu yang sehebat beliau di dalam beragama. Tidak pernah jumpa dan kemungkinan besar tidak akan jumpa!
Hajar namanya. Rindu padanya memang rindu. Setelah lima tahun tidak bersua semenjak kepulangan saya ke tanah air, kami hanya sekali-sekala berbual di dalam talian dengan masa dan patah kata yang terhad sekali. Dan kerana kegagalan saya mendapatkan telefon bimbit versi Arab, maka SMS kami juga agak terhad kerana seperti mana majoriti masyarakat Mesir, beliau agak kurang mampu menguasai Bahasa Inggeris.
Seorang muslimah yang menutup seluruh tubuhnya seratus peratus seperti Ummahatul Mukminin, seorang gadis yang hampir setiap kali membuka mulut, akan mengalirlah ayat-ayat Allah dan hadis-hadis Rasulullah SAW yang beliau hafal cair, sehingga hampir setiap peristiwa yang berlaku di depan mata mampu didatangkan nasnya. Demikian juga dengan cabang ilmu agama lain umpama sirah, feqah, tauhid dan sebagainya beliau tuntut juga dengan baik bukan sekadar di Kuliah Usuluddin Universiti Al-Azhar sahaja.
Saya lebih senang untuk akrab dengannya kerana beliau dapat dan sudi untuk berkomunikasi dengan menggunakan Bahasa Arab Fushah dengan baik, berbanding dengan rakan-rakan Arab lain yang lebih selesa dengan lahjah ‘ammiyah (bahasa pasar) mereka. Lahjah yang sering memeningkan saya!
Tetapi faktor yang lebih utama yang mengikat persahabatan kami, beliau ialah seorang yang ‘iza ru iya zukirallah’. (Apabila dia dipandang, akan mengingatkan kita kepada Allah). Insan begini memang sukar sekali ditemui di akhir zaman ini umpama mencari sebiji permata di celah hamparan pepasir pantai.
Apa yang saya ingin kisahkan di sini bersempena dengan malam Syaaban yang penuh barakah ini adalah tentang bagaimana persiapannya menyambut Ramadhan.
Pertama, beliau membuat satu tabung simpanan bermula dari awal tahun. Sebaik sahaja tiba bulan Ramadhan, simpanan tersebut akan disedekahkan kepada fakir miskin. Selama setahun beliau menunggu Ramadhan untuk ibadah tersebut kerana mengharapkan pahala yang berlipat-lipat kali ganda yang dijanjikan oleh Allah SWT.
Kedua, beliau membuat latihan tilawah Al-Quran iaitu bermula pada bulan Rejab beliau akan berusaha membaca Al-Quran dengan sekali khatam pada setiap lima hari. Pada bulan Syaaban, beliau cuba untuk khatam pada setiap tiga hari dan pada bulan Ramadhan, beliau akan mampu untuk khatam pada setiap satu atau dua hari!
Nah, hebat bukan sahabat saya itu? Itu belum saya ceritakan tentang bagaimana tahajjudnya serta kisah-kisah ketaatannya yang lain. Saya tidak menolak andai ada sesiapa yang menggelarkannya ‘manusia malaikat’ kerana kita tentu akan terfikir, apakah pada zaman ini masih ada wanita muda segigih itu taat beribadat? Saya sendiri pun tidak menyangka, pada zaman yang penuh fitnah dan dugaan ini, saya akan bertemu dengan sahabat sepertinya dan dengan rahmat Allah, beliau amat suka berkawan dengan saya walhal saya dengan dirinya ibarat langit dan bumi dari segala segi. Beliau ibarat bintang di langit, dan saya pula rumput kering di bumi.
Maha Suci Allah, apakah yang Allah ingin beri dan sampaikan kepada saya ini?
No comments:
Post a Comment