Monday

BIJAKKAH KITA?


HIDUP adalah perlumbaan. Manusia saling bersaing untuk mendominasi kuasa dan nikmat dunia. Binatang saling bersaing di dalam memburu, malah lalang dan rumput pun saling berlumba-lumba untuk menjadi yang paling tinggi.

Bermula di alam rahim, berjuta-juta sperma saling bersaing dan hanya yang benar-benar layak yang akan berjaya mendahului yang lain untuk bercantum dengan ovum. Lahir sebagai juara, manusia terus meneruskan perlumbaan hidup. Hukum alam mengatakan siapa yang paling kuat maka dialah yang akan memerintah. Jikalau pada masa silam kekuatan manusia adalah merujuk kepada kekuatan fizikal, pada masa kini pula kecerdikan dan keilmuan adalah kekuatan utama. Secara adatnya, golongan yang cerdik dan bijak pandai akan menjadi khalayak yang berjaya dan terkemuka di alam dunia.

Harus juga diingat, untuk menjadi golongan yang terkemuka di akhirat juga memerlukan akal yang bijak. Cerdik pandai dalam hal akhiratlah yang mempunyai potensi yang besar untuk menjadi jutawan dan golongan yang terhormat di sana. Mereka pakar dalam mengaplikasikan segala nikmat di dunia untuk keuntungan di akhirat. Mereka tidak meninggalkan dunia, tetapi menyatupadukan dan menyepadukan kedua-duanya dengan bijaksana.

“Oleh itu berlumba-lumbalah kamu mengerjakan kebaikan, kerana di mana saja kamu berada Allah tetap akan membawa kamu semua (berhimpun di hari kiamat untuk menerima balasan.” Surah Al-Baqarah :148

Sebagai contoh mudah, hanya dengan berniatkan apa jua pekerjaan yang dilakukan kerana untuk mencapai keredhaan Allah, pahala akan menyusuli dan ada ganjaran yang akan menanti. Sama ada di dalam mencari rezeki, bersukan, berhibur, belajar, makan minum, tidur dan sebagainya. Kemudian pahala akan berganda-ganda lagi apabila amalan kehidupan seharian ini dilaksanakan dengan tertib sunnah yang di ajarkan oleh nabi Muhammad SAW. Bermula dari bangun tidur sehinggalah mata dipejamkan kembali pada malamnya, terlalu banyak contoh daripada baginda yang dapat diikuti dan pohon-pohon akhirat dapat disemai.

“Dan bersegeralah kamu (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa.” Surah Ali-‘Imraan: 133

Walau bagaimanapun hanya mereka ‘yang tahu’ sahaja yang dapat mengamalkan. Demikianlah ilmu akhirat memainkan peranan yang besar dalam memimpin hidup seseorang hamba Allah agar dia benar-benar memainkan watak seorang hamba. Ilmu yang bermanfaat ialah yang dapat menyuluh kelemahan dan kekurangan diri sendiri serta dapat mendorong untuk beribadah kepada Allah.

Demikian juga halnya di dalam soal dosa. Allah mengurniakan akal, hati dan segala pancaindera untuk kita gunakan tetapi bukan pada semua perkara. Ada pantang larangnya dan garis sempadan itu tidak akan kita ketahui melainkan dengan ilmu. Orang yang berilmu akan sedar bahawa orang yang kalah berjuang terhadap musuh lahirnya akan terhina di dunia. Tetapi orang yang kalah berjuang terhadap musuh batinnya terhina di akhirat.

“Yang takut kepada Allah dari kalangan hamba-hambaNya hanyalah orang-orang yang berilmu. Sesungguhnya Allah Maha Kuasa lagi Maha Pengampun.” Surah Faathir: 28.

Hidup ini tidaklah terlalu lama untuk kita membuat kekalutan untuk diri sendiri dan orang lain dengan tidak mempedulikan perintah Allah dan melanggar rempuh laranganNya sesuka hati kita. Tahukah bahawa nisbah usia kita di dunia amatlah sedikit jika dibandingkan dengan usia yang bakal kita tempuhi di akhirat. Perjalanan akhirat amat jauh meliputi alam barzakh, kebangkitan, mahsyar, penyerahan buku amalan, mizan (timbangan amalan), hisab (perhitungan), kauthar dan sebagainya sebelum manusia tiba di destinasi akhir samada syurga atau jurang neraka.

Berapa banyak masa yang kita gunakan untuk masa depan akhirat berbanding masa untuk kita tidur, bercanda dan berdondang sayang. Ia bukanlah satu kesalahan selagi ia tergolong di dalam perkara-perkara harus, namun apabila sebahagian besar usia kita dibelanjakan ke arah itu, alangkah murahnya nilai hidup kita!

Justeru sebagai mana mafhum sabda junjungan besar SAW bahawa orang yang paling bijak ialah orang yang paling banyak mengingati mati, demikianlah orang yang lebih jelas wawasan akhiratnya akan lebih bermotivasi di dalam memburu kejayaan di alam sana. Mendalami ilmu agama adalah pra syaratnya, agar kita lebih mengenali Pencipta kita, memahami kehendakNya dan yang paling indah ialah bercinta denganNya.




No comments:

Post a Comment