Sunday

RAMADHAN: MASA UNTUK BERUBAH



“SESIAPA yang hari ini lebih baik dari semalam dia seorang yang beruntung. Sesiapa yang hari ini sama sahaja dengan semalam dia seorang yang rugi. Sesiapa yang hari ini lebih buruk dari semalam dia seorang yang zalim.”
- Al-Hadis

Kenapa perlu berubah?

Setiap hari kita datang ke sekolah untuk belajar supaya menjadi orang yang berjaya. Supaya dengan ilmu itu kita akan berubah menjadi orang yang lebih baik pada masa hadapan. Sijil dan ijazah yang diperolehi pula sebagai bukti bahawa minda kita sudah matang dengan kecemerlangan ilmu dan akal. Bukti kita sudah berubah menjadi lebih baik.

Semua usaha dan susah payah kita di sekolah ini kita lakukan demi sebuah kejayaan yang kita impikan. Demi masa depan yang gemilang. Demi sesuatu yang kita namakan sebagai kehidupan. Dan seandainya kehidupan di dunia ini kita sudah jelas matlamat dan perjuangannya, bagaimana pula dengan kehidupan di akhirat sana? Sedangkan dunia yang kita buru ini bakal ditinggalkan jua suatu hari nanti. Suatu hari nanti kita akan pergi. Pergi yang tidak akan kembali lagi buat selama-lamanya. Dan yang akan dibawa hanyalah amal ibadah kita kepada Allah SWT sahaja.

Untuk membina kehidupan yang baik di akhirat juga memerlukan perjuangan seperti mana kita berjuang untuk kehidupan di dunia. Juga memerlukan ilmu dan kepandaian. Memerlukan kemahuan, usaha yang gigih dan kemahiran praktikal (dengan mengamalkan apa yang dipelajari). Sijilnya pula nanti akan ditulis oleh para malaikat yang sentiasa setia merekod dan mendokumentasi semua perkara yang kita usahakan. Sama ada hasilnya yang baik atau sebaliknya.

Di dunia ini kita boleh melihat bagaimana orang-orang kenamaan, hartawan, jutawan, cendikiawan dan bangsawan telah menempa nama dan mencapai kedudukan mereka hari ini dengan hasil susah payah pada masa lampau yang bermula dari bawah. Mereka yang dahulunya khalayak marhaen kini dapat menjadi VIP yang dapat hidup senang, mewah dan terhormat di dunia.

Begitu jugalah halnya bagi mereka yang ingin menjadi VIP di akhirat kelak. Segalanya mestilah diusahakan. Ia tidak akan datang dengan percuma. Syurga itu mesti dibayar dan syurga itu mahal harganya. Kalau hartawan di dunia mesti pandai mencari duit dan menguruskan kewangan, orang yang ingin menjadi jutawan di akhirat juga mesti pandai mencari pahala dan mengumpulnya di ‘bank akhirat’ sebanyak yang mungkin. Bagi yang lebih bijak, mereka akan menyertai ‘Amanah Saham Akhirat’ yang menjanjikan keuntungan yang berlipat kali ganda!

Kenapa Ramadhan?

Sesungguhnya kehadiran Ramadhan sangat-sangat dinantikan oleh mereka yang celik mata hatinya. Kerana mereka tahu Ramadhan adalah merupakan salah satu daripada skim yang ditawarkan di dalam ‘Amanah Saham Akhirat’ yang sangat menguntungkan bagi semua pelaburnya. Ramadhan itu bulan rahmat, bulan berkat, bulan maghfirah (pengampunan) dan bulan pelepasan dari api neraka (terselamat daripada blacklist oleh Tuhan).

Selain itu, ia juga ibarat sebuah kem latihan yang merekrut pelatihnya agar menjadi hamba Allah yang sejati. Atau bagaikan sebuah sekolah yang melahirkan produk modal insan. Ada yang lulus cemerlang dan ada yang kecundang!

Kelebihan, keistimewaan dan tawaran hebat daripada Allah SWT pada bulan Ramadhan tidak akan kita ketahui kalau tidak dipelajari atau diterokai. Kita juga tidak akan tahu cara-cara untuk mendapatkannya serta cara selamat penyimpanannya. Seperti yang saya katakan tadi, ilmu juga sangat penting kalau hendak menjadi VIP di akhirat nanti.

Keberkatan pada bulan Ramadhan bukan hanya datang melalui puasa semata-mata. Sebenarnya Ramadhan datang dengan satu pakej yang besar malah menyeluruh, meliputi semua hubungan dengan Allah dan hubungan sesama manusia. Bukan hanya puasa, tetapi juga solat terawih, membaca Al-Quran, berzikir, bersedekah, menuntut ilmu, membantu insan lain dan sebagainya.

Sabda Rasulullah SAW, “Sesiapa yang mendekati Allah pada bulan Ramadhan dengan amalan sunat, ia seperti orang yang telah menunaikan satu fardhu pada bulan-bulan yang lain. Sesiapa yang menunaikan satu fardhu di dalamnya, adalah seperti orang yang menunaikan 70 fardhu pada bulan-bulan lain.”

Jadilah insan terpilih

Persoalannya, bolehkan kita merasa cukup sahaja dengan apa yang ada? Berpada dengan kejahilan dan kekurangan diri?

“Tak apalah, asal cukup makan….” Kalau begitulah sikap kita terhadap perjuangan hidup di dunia ini, akibat dan penyesalannya tidaklah terlalu besar. Mungkin kita akan menjadi orang yang hidup susah sampai ke tua dan selepas itu kita akan mati.

Tetapi bagaimana jika ‘prinsip cukup makan’ itu kita jadikan pendirian untuk masa depan akhirat? Tentunya beban penyesalan yang akan diterima itu tidak tertanggung beratnya. Kerana kehidupan akhirat adalah kehidupan yang kekal abadi. Hidup yang tidak mati-mati lagi!

Di sana hanya ada dua pilihan. Mulia atau hina. Syurga atau neraka. Dan kalau sudah ditakdirkan mendapat syurga sekalipun, bukankah lebih baik kalau kita mendapat syurga yang teratas daripada tujuh syurga yang disediakan? Sesiapa yang ingin menjadi insan mulia di sisi Allah, dia hendaklah memburu masa yang dimuliakanNya, mendatangi tempat yang dimuliakanNya, melaksanakan amalan yang dimuliakanNya, bersikap dengan sikap yang dimuliakanNya dan mencintai orang-orang yang dimuliakan Allah.

Dan sudah tentu masa yang paling istimewa itu tidak lain dan tidak bukan ialah bulan Ramadhan. Padanya juga terdapat malam yang paling istimewa iaitu Malam Lailatulqadar yang lebih baik daripada seribu bulan.

Lalu, kalau kita tidak menjadikan Ramadhan sebagai masa untuk berubah, maka bila lagi kita akan berubah?

No comments:

Post a Comment